Beberapa tahun yang lalu usai saya memberi khutbah di University of Western Australia, saya didekati oleh seorang pakcik yang tidak saya kenali. Beliau datang menyapa dan berterima kasih atas khutbah saya tadi.
“Terima kasih atas khutbah tadi,” kata pakcik tersebut dalam Bahasa Inggeris.
“Alhamdulillah. Sama-sama. Moga ia bermanfaat,” jawab saya.
“Anak dari mana?” beliau bertanya.
“Saya dari Malaysia.”
“Saya juga dari Malaysia. Malaysia di mana?” sambung beliau lagi. Kini kami mula bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya dari Shah Alam. Saya minta maaf pakcik tak dapat nak borak panjang. Isteri saya menunggu di luar untuk bawa saya ke airport. Saya nak balik Malaysia hari ni.”
Penerbangan saya ke Malaysia dijadualkan pada jam 4 petang. Waktu sudah hampir jam 2 ketika itu.
“Oh takpe. Pakcik cuma nak ucapkan tahniah. Pakcik bangga ada anak Malaysia berkhutbah dengan baik di persada antarabangsa. Keep it up,” kata pakcik itu lagi.
“Terima kasih pakcik. Mohon doakan saya,” balas saya.
“Ok. Kita keep in touch ye. Malaysia perlukan anak muda seperti kamu. Nanti kita sembang lagi. Nama pakcik Mustafa. Mustafa Kamal. Nama anak siapa?” tanya pakcik tersebut.
“Nama saya Azizi, pakcik. Insya Allah kita jumpa lagi. Assalamualaiakum,” saya mengakhiri perbualan.
“Wa alaikumussalam,” jawab beliau.
Ketika dalam perjalanan ke airport, kepala saya terus berfikir, kenapa pakcik Mustafa ni rupanya macam saya kenal. Fikir punya fikir, tiba-tiba saya bertanya kepada isteri saya, “Boleh tolong google Tan Sri Mustafa Kamal? Search images.”
Saya membesar di era 90-an. Akhbar zaman itu sering memaparkan berita kejayaan taikun-taikun Melayu. Dan Tan Sri MK merupakan salah seorang dari mereka.
Isteri saya pun mengetik ke iPhonenya dalam dan menunjukkan gambar Tan Sri MK kepada saya. Sah, itulah pakcik tadi. Terus saya tepuk dahi, Tan Sri MK saya panggil pakcik. Beliau pula tidak membetulkan saya. Layankan je. Sungguh merendah diri. Dan benarlah pepatah Melayu, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Tan Sri yang merendah diri tidak akan mengurangkan rasa hormat masyarakat kepada beliau.
Sejak dari pertemuan pertama tersebut, beliau sering menghadiri khutbah Jumaat dan tafsir ringkas saya di universiti di bulan Ramadan. Kami akan berbual-bual ringkas di akhir pengajian. Beliau masih lagi membahasakan diri sebagai “pakcik” walaupun saya memanggil beliau dengan gelaran Tan Sri.
“Ustaz, esok buka di rumah pakcik ye. Makcik masak. Bawa isteri dan anak,” beliau mengundang saya sekeluarga berbuka di rumah. Isteri beliau juga saya merendah diri. Memang kami berbuka hasil air tangan beliau.
Pernah beliau tawarkan saya untuk membuka Qaswa di Malaysia.
“Ustaz, I have many buildings in Malaysia. Pilih je lah mana yang ustaz nak. Kita buka Qaswa di Malaysia. Saya bantu. Saya suka cara ustaz,” tawar beliau.
“Tan Sri, di Malaysia ramai ulama’ dan guru-guru agama yang hebat-hebat. Saya ni ibarat akar. Bila tiada rotan, akar pun jadilah. Tapi bila rotan banyak, akar kita simpan je. Sekolah-sekolah agama pun banyak di Malaysia. Hebat-hebat belaka. Perjuangan saya di sini, Tan Sri” saya menolak tawaran beliau.
Alhamdulillah cucu beliau dua orang belajar di Qaswa sekarang.
-
Beberapa hari lepas saya dikejutkan dengan berita pulangnya beliau ke rahmatuLlah. Seorang hartawan yang sangat merendah diri. Tokoh perniagaan Muslim yang berjaya.
Moga Allah mengampuni segala kekurangan beliau, menerima dan menggandakan amal baik beliau.