Azizi Khalid

April 29, 2021

Kisah Sebatang Siwak

9BB6121A-4612-46ED-8460-C05EA96912E6.jpg

Tahun 1999 - pertama kali saya berpeluang duduk bersama para ulama’ dari Hadhramaut, Yaman. Ketika itu Habib Umar bin Hafiz datang berziarah ke Mesir. Antara tokoh muda yang turut serta bersama Habib Umar ialah Habib Ali al-Jufri.

Alhamdulillah, dalam kesibukan jadual mereka, Habib Ali sudi meluangkan masa untuk sesi khas bersama beberapa orang pelajar Malaysia. Saya turut serta dalam pertemuan ini dan kami telah berhimpun di salah sebuah rumah di Shubra.

Majlis yang berlangsung dari lepas Zohor sehinggalah waktu Asar cuma dihadiri oleh kurang dari 50 orang. Maka puaslah kami bersoal jawab dengan Habib Ali.

Bila tiba waktu Asar, Habib Ali mengimami kami solat. Sebelum solat beliau menggunakan siwak bagi menuntun sunnah Nabi s.a.w. Beliau kemudian berpaling menghadap ke makmum bagi meluruskan saf. Beliau mendapati tidak ada seorang pun dari kami menggunakan siwak. Terus beliau menegur kami semua tentang kepentingan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sekalipun pada mata kita ianya kecil. Saya masih ingat kata-kata beliau, "Bagaimana boleh penuntut-penuntut ilmu (agama) meninggalkan siwak sedangkan Nabi tidak pernah meninggalkannya?"

Begitulah telitinya para ulama' Hadhramaut dalam mengamalkan ilmu yang mereka pelajari. Sesuatu yang datang dari Nabi dipandang besar sekalipun telah dipandang enteng oleh orang ramai. Teringat saya kepada nasihat seorang guru/sahabat saya di Mesir, "Jika kamu mahu diskusi ilmu yang luas dan mendalam, pergilah ke Syria atauu Mesir. Tetapi jika kamu melihat ilmu itu diamalkan dengan teliti, pergilah ke Hadhramaut.
Moga Allah melindungi dan merahmati para ulama' Hadhramaut terutamanya dari kalangan Habaib.


Azizi Khalid
Making Islamic education fun at Qaswa House
Towards the Middle Path