Azizi Khalid

April 7, 2021

Makhluk Kelainan Upaya

IMG_4653.jpg

“Azizi, kau selalu pergi camping tu tak ada ke jumpa ‘apa-apa’ ke?” tanya seorang sahabat.

“Azizi, kau masuk hutan bawa anak-anak tu dia orang tak takut ke? Tak kena ganggu ke?” tanya seorang sahabat yang lain pula.

Saya sering menerima pertanyaan-pertanyaan seperti ini berkenaan hobi kami sekeluarga yang sering masuk hutan. Berbeza dengan rakan-rakan lain, kami suka ke hutan cuma sekeluarga.

Sebagai Muslim, kami mengimani kewujudan makhluk halus yang dipanggil jin. Masakan tidak, di dalam al-Quran pun ada satu surah khusus dinamakan surah al-Jin.

Tetapi sedari kecil, anak-anak kami tidak diajar takut kepada jin. Apatah lagi takut kepada gelap. Isu takut gelap tidak pernah dibangkitkan di rumah.

Sumayyah dan Sakeenah ketika berusia 4 tahun sekiranya mereka terbangun malam untuk buang air, mereka akan ambil lampu picit sendiri dan ke tandas tanpa mengejutkan orang tua. Takut pada kegelapan dan hantu tidak pernah wujud dalam pemikiran mereka.

Malah mereka tidak diajar untuk takut kepada makhluk;
kata-kata seperti, “jangan keluar malam-malam, ada hantu,” atau ditakutkan dengan serangga seperti lipas atau labah-labah dan yang lain-lain.

Tidaklah bererti anak-anak kami tidak takut lipas, tapi kami akan tangkap lipas dan tunjukkan kepada mereka dari dekat bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan. Mereka dilatih untuk mengatasi rasa takut dengan ilmu. Kalau binatang berbahaya pula seperti ‘redback spider’ yang banyak di Perth, kami kenalkannya kepada anak-anak dan pesan agar mereka berhati-hati dengannya. Berwaspada tidak bererti takut.

Berbalik kepada jin, kami ajarkan anak-anak untuk berwaspada terhadap jin. Zikir harian pagi dan petang yang telah diajar oleh Nabi mesti dijadikan pakaian. Ayat al-Kursi, ayat ‘terpower’ di dalam al-Quran di hafal dan dibaca setiap kali selepas solat. 

Anak-anak diajar bahawa jin itu juga makhluk yang bergantung kepada Allah. Ya, mereka punya keupayaan yang berbeza tetapi tidak bererti kita harus takut kepada mereka. Burung juga mempunyai kebolehan yang luar biasa - burung-burung mampu terbang - tetapi tidak pula kita takut kepada burung.

Jin adalah Makhluk Kelainan Upaya yang tidak perlu ditakuti.

Kita berwaspada terhadap jin dengan melindungi diri seperti yang diajar oleh Nabi bukan dengan takut tidak tentu pasal.

Semalam dalam perjalanan pulang dari hutan saya bertanya kepada Sumayyah, “Along, kawan ayah ada tanya, Along tak takut hantu ke dalam hutan?”

“Tak pernah terfikir pun nak takut,” jawabnya selamba.

Allahlah sebaik-baik pelindung.

p/s: Sejujurnya saya lebih risaukan ular dari jin apabila dihutan. Tapi itu mungkin untuk penulisan di waktu lain.


Azizi Khalid
Making Islamic education fun at Qaswa House
Towards the Middle Path