“Assalamualaikum ustaz, boleh saya tanya sedikit,” sapa seorang pelajar darjah 4 di Qaswa.
“Wa alaikumussalam, silakan,” saya menjawab.
“Begini, saya ada satu kemusykilan. Kalau Tuhan itu Maha Pengasih dan Pemurah, dan Dia juga Maha Berkuasa, kenapa masih ada kesusahan dan kejahatan dalam dunia ini? Kenapa Tuhan tidak terus jadikan semua orang kaya dan selesa. Dan tiada lagi kejahatan di dunia ini?”
“Bagus soalan itu, Sofia (bukan nama sebenar). Jawapan dia sedikit panjang, jom kita duduk dulu,” jawab saya sambil menjemputnya duduk.
“Pertama sekali, Sofia ingat lagikah pelajaran kita tentang keistimewaan manusia berbanding haiwan?” saya suka memulakan jawaban dengan persoalan agar melatih anak-anak berfikir.
“Ingat. Manusia mepunyai akal untuk berfikir dan ruh untuk mengenali Tuhan,” jawab Sofia lancar.
“Bagus. Apa pula beza kita dengan malaikat?” tanya saya lagi.
“Malaikat mempunyai akal tetapi tidak mempunyai nafsu. Jadi para malaikat tidak akan boleh menderhaka kepada Allah. Mereka cuma boleh taat sahaja kerana mereka tidak ada kebebasan memilih. Manusia pula ada nafsu. Maka manusia diberi pilihan oleh Allah, samada hendak taat kepada Allah atau tidak,” jawab Sofia lagi.
“Bagus. Nampak Sofia ingat apa yang kita pelajari di dalam kelas. Jadi dunia yang penuh dengan kebaikan dan ketaatan kepada Allah itu adalah alam Malaikat. Di dalam alam Malaikat tidak ada yang derhaka kepada Allah. Tetapi di alam manusia ini Allah mahu melihat siapa dari kalangan anak-cucu Adam yang memilih untuk taat. Kerana manusia ini makhluk yang Allah ciptakan dengan keupayaan memilih. Apabila kita taat kepada Allah maka kita jadi lebih mulia dari malaikat kerana kita mampu menjinakkan nafsu kita untuk taat kepada Allah. Sedangkan malaikat tidak perlu menempuhi rintangan yang sama.”
“Tetapi kalau kita jadi jahat, kita lebih hina dari haiwan kan? Sebab kita ada akal,” tanya Sofia.
“Tepat sekali. Kehidupan di dunia ini memang tidak akan sempurna. Akan ada susah dan senang. Jahat dan baik. Kehidupan yang sempurna untuk mansia adalah di syurga. Bukan di sini,” saya menyambung.
“Dan nak masuk syurga kita kena sabar dengan kesusahan dan syukur dengan kesenangan. Betulkan, ustaz?”
“Benar. Alhamdulillah, bijak sungguh Sofia. Bila kita faham perkara ini kita tidak akan memandang hina kepada kesusahan dan pandang mulia kepada kesenangan. Kerana kedua-duanya adalah ujian dari Allah untuk kita masuk ke syurga. Ujian kesusahan jawabanya ialah sabar. Ujian kesenangan jawabannya ialah syukur. Susah dan senang itu tidak ada nilai di sisi Allah. Yang bernilai adalah respon kita, adakah kita sabar atau tidak. Adakah kita bersyukur atau tidak.
“Satu perkara lagi, ujian itu juga bukan dalam bentuk kesusahan yang ditimpakan kepada kita. Boleh jadi kesusahan orang lain itu adalah ujian kepada kita. Kita nampak orang susah atau orang miskin, Allah nak uji kita. Adakah kita sombong atau kita bantu orang susah itu. Kalau kita sombong, harta kita itu akan membawa kita ke neraka. Kalau kita membantu dengan ikhlas, harta kita itu akan membawa kita ke syurga,” jawab saya panjang lebar.
“Baru saya faham, ustaz. Ertinya adanya kesusahan di dunia ini adalah sebagai ujian kepada orang yang senang. Kita nak bantu atau nak sombong,” ujar Sofia.
“Benar. Ia juga ujian kepada orang yang susah tadi. Sekiranya ada orang kaya yang sombong kepada orang miskin, dan orang miskin itu sabar. Maka orang kaya itu berdosa atas kesombongannya dan si miskin itu diberi pahala atas kesabaran. Kita takut si kaya itu dihumban ke neraka dan si miskin masuk syurga.”
”Wow! Apa gunanya kaya di dunia kalau di akhirat masuk neraka. Dunia ni kejap je kan, ustaz? Ok, terima kasih atas penerangan. Saya nak pergi main dengan kawan-kawan boleh?”
”Wow! Apa gunanya kaya di dunia kalau di akhirat masuk neraka. Dunia ni kejap je kan, ustaz? Ok, terima kasih atas penerangan. Saya nak pergi main dengan kawan-kawan boleh?”
“Pergilah. Sekarang pun waktu rehat.”